PEMBENIHAN

BAGAIMANA RUPA KOLAM PENETASAN TERBAIK ??

Bentuk kolam penetasan yang terbaik adalah seperti dalam gambarajah di atas di mana kolam perlu dibina pada saiz 10' x 10'. Ini bagi memudahkan kerja-kerja melepaskan telur di atas jaring di mana telur perlu diletakkan senipis yang mungkin dan yang terbaik adalah setebal 1 lapisan sahaja. Jika tidak telur akan bertindih dan kebiasaannya telur di kawasan bertindih tidak akan menetas dan telur akan menjadi rosak.

Gambarajah A :

Kolam perlu dibina dalam keadaan curam di bahagian tengah.Paip air masuk perlu dibina di bahagian tepi dan lubang air keluar dibina di bahagian tengah supaya memudahkan proses membersihkan kolam dan menarik ikan keluar melalui lubang.

Gambarajah B :

Parit perlu dibina berdekatan supaya dapat menyauk ikan yang keluar dan membuang air dari kolam penetasan.

Gambarajah C :

Pembinaan kolam penetasan yang efisien memudahkan urusan mengambil rega ikan yang telah menetas untuk dipindahkan ke kolam asuhan iaitu kolam tanah. Apabila paip "overflow" dicabut, rega ikan akan keluar melalui lubang aliran air keluar terus ke parit berdekatan dan kita hanya menunggu ikan keluar dengan mengumpulkan mereka menggunakan sauk khas pengumpulan rega ikan.


Gambarajah menunjukkan bagaimana air dibuka memasuki kolam penetasan dan lubang "overflow" yang digunakan untuk mengawal paras air di dolam kolam supaya air berlebihan dapat dibuang keluar.

Kenapa perlu ada "overflow" semasa proses penetasan ?

Telur perlu dibiarkan di atas jaring mata halus selama 30 jam. Selepas 10 jam pertama, telur telah mula menetas. Sisa telur atau telur yang rosak akan membusukkan air dan menjadikan air kolam kotor. Oleh itu air perlu dibuka supaya dapat menggantikan air yang kotor dan busuk ini disamping menambah kandungan oksigen di dalam kolam penetasan. Perlu diingat di sini bahawa rega ikan yang menetas adalah amat sensitif terhadap persekitaran.

Rega ikan tidak akan keluar melalui lubang " overflow" tersebutkah ?

Tidak. Anak rega yang baru menetas akan turun ke bawah melalui mata jaring dan berkumpul di dasar kolam. Ikan yang baru menetas masih belum pandai berenang atau masih dalam keadaan terkejut apabila melihat persekitarannya. Kerana itulah air tidak perlu dibuka dengan kuat supaya arus tidak kuat dan seterusnya membawa rega hanyut ke lubang "overflow".

Perlukan lubang "overflow" ditutup dengan jaring mata halus ?

Tidak perlu. Ini kerana walaupun kita menggunakan jaring mata halus iaitu mata jaring yang terkecil di pasaran, rega ikan masih dapat melepasinya. Meletakkan jaring di lubang "overflow" tidak akan mendatangkan kesan dan itu merupakan satu pembaziran.


Kalau kita ada RAS, bolehkah air yang dikitar diguna semula untuk kolam penetasan ?

Jawapannya tidak boleh. Ini kerana sisa telur akan menjadikan air busuk. Air busuk bukanlah satu perkara yang boleh ditapis. Tapisan hanya boleh dibuat terhadap ampaian, habuk atau bendasing yang besar tetapi air busuk tetap toksik kepada rega ikan. Dinasihatkan di sini supaya air yang keluar melalui "overflow" dibuang terus dan jangan digunakan lagi kerana rega ikan adalah amat sensitif terhadap persekitaran terutama air kolam tersebut. Sebaiknya air yang keluar digantikan dengan air yang baru dan bersih.

APA ITU MOINA ?? 

PENGKELASAN MOINA
Phylum : ArthropodaSubphylum : CrustaceaClass : Branchiopoda
Suborder: Cladocera
Family : Moinidae

Moina merupakan sejenis zooplankton yang biasa digunakan dalam pemakanan anak ikan air tawar. Ia juga mendapat gelaran popular iaitu "kutu air" di mana moina biasanya hidup di kawasan semula jadi seperti d dalam air sungai, air mata air, air lombong atau air parit yang bersih.


Gambarajah menunjukkan lakaran anatomi moina

Apakah tujuan menghasilkan moina dan bilakah masanya kita perlu beri moina kepada ikan ternakan ?

Selepas telur ikan menetas, rega ikan dibiarkan selama 3 hari tanpa diberi sebarang makanan. Selepas 3 hari rega ikan ini dilepaskan di dalam kolam asuhan iaitu kolam tanah. Pada hari keempat, rega ikan diberi makan dengan moina.

Kenapa rega ikan diberi moina ?
Rega ikan diberi moina kerana pada masa ini rega ikan seperti ikan keli belum mempunyai sebarang sesungut. Oleh itu mereka tidak dapat mengesan makanan. Rega ikan akan mencari atau memakan apa sahaja yang bergerak dihadapan mereka. Oleh itu pada hari keempat, rega ikan perlu diberi dengan moina hidup.

Perlukah ikan melebihi 1 inci hingga 3 inci diberi makan dengan moina ?
Ikan melebihi 1 hingga 3 inci tidak perlu diberi makan dengan moina kerana pada masa ini ikan telah mempunyai sesungut dan telah pandai makan pellet. Pada masa ini juga ikan telah besar dan hampir tidak dapat melihat moina kerana moina adalah pada saiz yang kecil. Ini umpama anda memberikan makanan bayi kepada budak yang berusia melebihi 5 tahun. Mereka tidak akan makan makanan tersebut.

Bagaimana untuk mengkultur / menghasilkan moina ?

Untuk menghasilkan moina, sediakan kolam 10' x 10'. Masukkan air sedalam 1 atau 2 kaki. Kemudian masukkan tahi ayam di dalam guni kain atau kain pelekat yang tidak dipakai dan rendamkan tahi ayam tersebut di dalam kolam yang disediakan. Biarkan selama 3 hari dan moina akan jelas kelihatan pada hari ke tiga. Moina boleh disauk dengan menggunakan penyauk khas yang sama seperti sauk mengambil rega ikan kerana moina terlalu halus dan akan lepas sekiranya anda menggunakan sauk biasa. Moina boleh diambil selewat-lewatnya jam 8 pagi kerana moina akan berada di permukaan pada awal pagi dan apabila cahaya matahari mula menyinar dengan terik, moina akan turun ke dasar kolam. Oleh itu kita sukar untuk mendapatkan moina.



Bagaimana kalau menggunakan air yang telah dirawat oleh syarikat air ?

Moina adalah sangat sentitif terhadap racun serangga, logam seperti kuprum dan zink, detergen seperti klorin, bahan peluntur dan bahan toksik lain di dalam air yang dibekalkan oleh syarikat air. Oleh itu moina sesuai dihasilkan dengan air semulajadi. Air hujan adalah air yang paling sesuai digunakan dalam menghasilkan moina.
Suhu yang sesuai dalam mengkultur atau menghasilkan moina adalah pada 24 hingga 31 darjah Celcius. Suhu yang rendah akan merendahkan pengeluaran moina.

Berapa lamakah jangka hayat moina?

Jangka hayat moina adalah selama 7 hari sahaja.

Selepas 7 hari bagaimana jika ingin mendapat bekalan moina yang berterusan?

Selepas 7 hari, anda perlu membuang separuh daripada air kolam dan gantikan dengan air yang baru serta menambahkan tahi ayam supaya moina baru dapat dihasilkan.

Adakah moina boleh disimpan? Adakah perlu hasilkan mona setiap hari ?

Ya, moina boleh disimpan. Pada hari keempat, rega ikan yang dilepaskan dalam kolam asuhan perlu diberi makan dengan moina kerana ia belum ada sesungut dan mengejar apa sahaja yang bergerak di hadapan mereka. Oleh itu bermula dari hari tersebut rega ikan telah mengenali moina. Pada hari kedua dalam kolam asuhan atau hari kelima selepas menetas, rega ikan telah boleh diberi dengan moina mati. Caranya dengan mengkultur moina dalam kuantiti yang banyak kemudian ia ditapis atau disauk dan moina tersebut boleh dibekukan di dalam peti sejuk. Apabila hendak digunakan ia boleh dikeluarkan dan dipanaskan pada suhu bilik dan dilepaskan di dalam kolam asuhan untuk diberi makan kepada rega ikan.

Kenapa perlu air hijau ? Perlukan air hijau disediakan dalam kolam sebelum benih 2 atau 3 inci dimasukkan ?

Mikroalga merupakan makanan kepada moina. Air hijau terjadi kerana kehadiran mikroalga yang disebabkan oleh penambahan tahi ayam atau melalui pancaran cahaya matahari kepada air yang statik atau tidak bergerak. Moina akan memakan mikroalga ini untuk membesar dan membiak. Moina hanya diberikan kepada rega yang berusia 4 hari selepas menetas kerana pada usia ini ikan masih tidak mempunyai sesungut dan tidak dapat mengesan makanan. Mereka akan kejar dan makan apa sahaja yang kecil dan bergerak di hadapan mereka. Telah dinyatakan di atas bahawa ikan pada saiz 2 atau 3 inci tidak lagi memakan moina.
Penghasilan air hijau pada kolam ternakan melalui penambahan tahi ayam akan mengotorkan air kolam dan menjadikan ikan ternakan was-was untuk dimakan. Najis ikan itu sendiri adalah bersifat ammonia iaitu NH3 dan ia adalah sejenis alkali. Ikan yang hidup dalam keadaan alkali yang ekstrem akan menjadikan ikan berada dalam keadaan "stress" dan ini mengganggu tumbesaran serta tabiat pemakanan ikan ternakan. Apa jua jenis ikan air tawar akan membesar dengan sekata dan menghasilkan tekstur daging yang baik apabila diternak pada pH neutral atau di antara pH 6.5 hingga pH 7.5.

APA ITI ARTEMIA ?? 

PENGKELASAN ARTEMIA
   Gambarajah di atas menunjukkan contoh sebenar artemia

Kingdom : Animalia
Phylum : Arthropoda
Subphylum : Crustacea
Class : Branchiopoda
Order : Anostraca
Family : Artemiidae
Genus : Artemia

Artemia juga merupakan sejenis zooplankton yang banyak digunakan sebagai bahan makanan bagi ikan air tawar. Artemia adalah daripada telur udang air masin. Ia merupakan satu alternatif bagi menggantikan moina dan mudah serta cepat dihasilkan.

Peringkat penetasan artemia

-----------> A <------------->B <----------
Stuktur rupabentuk peringkat anak dan peringkat dewasa artemia . Gambarajah A : Artemia berusia 8 jam selepas penetasan manakala B : Rupa artemia dewasa 

Morfologi / anatomi artemia

Bagaimana caranya untuk menghasilkan artemia?

 
Sediakan air garam 10p.p.t iaitu 10 gram garam biasa ke dalam 1 liter air atau 1 KG air. Artemia sesuai dan akan cepat menetas apabila berada dalam darjah kemasinan air laut. Kemasinan yang ideal amat diperlukan dan ia merupakan faktor kejayaan dalam menetaskan artemia. Hydrometer atau alat pengukur darjah kemasinan diperlukan dalam memastikan bahawa air masin yang disediakan berada pada darjah kemasinan yang ideal. 

Hydrometer / pengukur darjah kemasinan

Bagaimana caran menggunakan hydrometer/pengukur darjah kemasinan ?

Terdapat dua tanda hijau pada hydrometer. Tanda di bawah merujuk kepada suhu. Tanda kedua adalah tanda hijau di atas sekali hydrometer tersebut. Tanda ini merupakan tanda di mana ia adalah darjah kemasinan yang ideal iaitu sama seperti kemasinan air laut. Untuk menggunakan hydrometer ini, setelah air masin disediakan, masukkan hydrometer tersebut dan lihat hasilnya. Jika ia tenggelam maka kemasinan adalah kurang atau tidak mencukupi. Jika ia terlalu terapung maka kemasinan adalah berlebihan. Oleh itu hydrometer perlu terkeluar dari permukaan air dari tanda hijau di atas hydrometer tersebut.

Setelah kemasinan ideal diperolehi apa perlu saya buat ?

Setelah air masin disediakan, masukkan beberapa sudu ( bergantung kepada jumlah anak ikan yang hendak diberi makan ) artemia ke dalam air masin tersebut. Kemudian masukkan pam angin ke dalam bekas tersebut dan hidupkan angin atau blower sekuat yang mungkin dan dibiarkan selama 24 jam.

Artemia memerlukan oksigen yang tinggi dan kemasinan yang sesuai iaitu kemasinan seperti air laut untuk menetas.

Selepas 24 jam, artemia akan menetas.

Setelah menetas apa perlu saya buat ?

Selepas artemia menetas, angin perlu dikeluarkan daripada bekas dan tunggu hingga 15 minit atau setengah jam. Telur artemia merupakan jenis telur yang terapung. Apabila oksigen dikeluarkan, artemia akan lemas. Ini kerana artemia adalah sangat sensitif dan memerlukan oksigen. Oleh itu, apabila oksigen dikeluarkan, ia akan lemas dan turun ke dasar. Apabila ini berlaku, kita dapat memisahkan di antara sisa telur artemia dan artemia yang kita kehendaki.

Apabila artemia berada di dasar maka kita telah boleh menyauk atau membawa keluar sisa telur untuk dibuang,dan mengambil artemia di dasar untuk diberi kepada anak rega ikan keli berusia 4 hari.

Setelah oksigen dikeluarkan dari tangki penetasan artemia, sisa telur boleh diangkat dengan segera apabila artemia mula turun ke bawah. Setelah semua sisa dikeluarkan, maka oksigen boleh dimasukkan semula dan artemia akan cergas kembali. Artemia yang terhasil ini disauk dan dilepaskan ke dalam kolam asuhan. Artemia hidup boleh hidup di dalam air tawar untuk tempoh kurang daripada sejam. Oleh itu, ia berguna kerana artemia ini akan berenang dan ikan akan mengejarnya. Anak ikan akan mula mnegenali artemia. Pada keesokan hari artemia mati telah boleh diberikan kepada mereka.

Perlukah saya menetaskan artemia setiap kali saya ingin gunakannya ?

Rega ikan keli perlu dilatih dengan pellet ( pre-starter ) setelah memasuki hari ke-12 dimana 3 hari pertama dibiarkan tanpa diberi sebarang makanan dan 7 hari diberi makan moina atau artemia. Seperti yang dinyatakan, rega ikan keli pada usia 4 hingga 11 hari masih tidak mempunyai sesungut. Oleh itu menereka akan mengejar apa sahaja yang bergerak di hadapan mereka. Pemberian moina dan artemia pada hari keempat adalah penting dimana ia akan kenal atau tahu makanan mereka.

Pada hari kedua setelah anak ikan dilepaskan dalam kolam asuhan atau hari kelima selepas menetas, anda telah boleh memberi dengan moina mati atau artemia yang telah mati. Artemia yang mati boleh dikumpulkan dan disimpan di dalam peti sejuk dalam kuantiti yang banyak dimana ia boleh diberi pada hari kelima dan seterusnya kepada rega ikan kerana pada masa ini mereka telah kenal akan artemia setelah diberi pada hari keempat.

Setelah tin dibuka, bagaimana nak simpan supaya telur selebihnya tidak rosak ?

Telur artemia tidak akan menetas tanpa kehadiran oksigen yang mencukupi dan kehadiran air masin. Selagi ia disimpan di dalam bekas kedap udara, ia tidak akan rosak. Semestinya telur artemia sama seperti telur ikan keli di mana jika kita tetaskan mereka, bukan semua yang akan menetas. Biasanya dari jumlah yang kita ada untuk ditetaskan, hanya 40% sahaja yang akan menetas. Harap maklum.

APA ITI METHYLENE BLUE ??

Di dalam makmal, Methylene Blue digunakan sebagai bahan pewarna dan membantu dalam dunia perubatan. Dalam akuakultur pula, Methylene Blue merupakan ubat anti-kulat dan anti-bakteria yang digunakan dalam penetasan telur ikan keli. Tujuannya adalah mencegah kulat dan bakteria daripada menjangkiti telur ikan keli semasa penetasan. Ia berkesan sebagai mandian ubat untuk ikan ternakan kerana ia membantu dalam merawat ammonia, nitrit, keracunan sianida dan merawat kecederaan dalaman ikan jika ada ikan yang sakit.
Methylene Blue perlu diletakkan secara berpatutan seperti di dalam gambarajah sahaja. Penggunaan yang berlebihan tidak akan membahayakan rega ikan apabila menetas tetapi ia akan berlaku pembaziran.

Bagaimana saya boleh menyediakan Methylene Blue ?

Methylene Blue digunakan dalam nisbah 7 p.p.t. Cara penyediaannya adalah dengan menimbang Methylene Blue sebanyak 7 gram dan tambahkan air RO sebanyak 1 liter atau 1 KG air. Methylene Blue yang telah dihasilkan boleh disimpan untuk satu tempoh yang sangat lama.

Rujukan :
http://www.jtbaker.com/msds/englishhtml/m4381.htm

APA TUJUAN PENGGUNAAN JARING MATA HALUS ?? 

 


Cara meletakkan jaring dengan betul di kolam penetasan

Jaring mata halus perlu digunakan dalam penetasan telur keli yang telah disenyawakan. Telur tersebut ditadah atau diletakkan di atas jaring tersebut dan jaring direndam di dalam kolam penetasan. Ini kerana keli merupakan ikan yang menghasilkan "telur tenggelam".

Jika telur tenggelam kenapa tidak dibiarkan tenggelam ke dasar sahaja ?

Walaupun jika kita lihat jaring tersebut adalah jaring bermata halus, tetapi rega ikan yang baru menetas masih dapat melepasi jaring tersebut. Ini memudahkan kerja pengasingan rega ikan dan sisa telur. Jaring perlu diangkat setelah telur berada dalam kolam penetasan selama 30 jam. Ini kerana sisa telur yang telah menetas, telur rosak atau telur tidak menetas akan membusukkan air serta mengotorkan kolam. Air tersebut akan menjadi toksik kepada rega ikan. 

Proses mengangkat jaring setelah 30 jam

Mari bermanja dengan ikan anda. Sila klik di mana-mana bahagian kolam 10 x 10 tilapia merah dan hitam di atas untuk memberi pelet kepada ikan. Bagi pelet sambil mengira ikan. Latihan asas kepada mereka yang berminat untuk menternak ikan. Semoga terhibur.